Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Media Indonesia terus menyiarkan kritikan terhadap pemerintah Indonesia daripada pemerhati politik, aktivis hak asasi manusia dan tokoh agama. Turut disuarakan ialah keanehan apabila agama yang sepatutnya membawa kedamaian dan kesejahteraan sosial telah bertukar menjadi tragedi berdarah dan anarki.Pengamat sosial dan keagamaan Prof. Azyumardi Azra mengatakan isu Sampang berpunca dari masalah politik dan kekuasaan manakala agama hanyalah alat justifikasi untuk mencetuskan huru-hara. Menurutnya lagi, beliau tidak melihat adanya inisiatif tegas daripada pihak berkuasa untuk meredakan ketegangan.Sementara itu suruhanjaya hak asasi manusia kebangsaan Komnas HAM mengesahkan isu ini berkait rapat dengan proses pemilihan ketua daerah di wilayah tersebut."Komnas HAM menemukan kaitan erat antara proses pemilu kada dengan peristiwa penyerangan terhadap warga Syiah, walaupun awal mulanya konflik tersebut dipicu permasalahan keluarga," kata Ketua Komnas HAM Ifdhal Kasim.Ifdhal juga turut menegaskan kes ini menunjukkan kegagalan negara dalam melindungi rakyatnya dari ancaman. Lebih-lebih lagi siasatan awal menunjukkan pihak polis telah menerima laporan daripada seorang pengikut mazhab Syiah tentang ancaman keselamatan apabila ribuan orang sudah berkumpul untuk menyerang. Malangnya hanya beberapa orang anggota keselamatan sahaja dikirim ke kawasan terbabit sehingga tidak berhasil membendung keganasan perusuh yang jumlahnya lebih besar.Sementara itu tindakan Presiden Indonesia Sosilo Bambang Yudhoyono menyalahkan Badan Intelijen tempatan telah mengundang kritikan hebat Parti Demokrasi Indonesia. Menurut Setiausaha Agungnya Tjahjo Kumolo, kenyataan presiden itu membahayakan negara dan rakyat Indonesia.Tambah Tjahjo Kumolo lagi, kemungkinan maklumat yang disediakan Badan Intelijen tidak disusuli dengan tindakan awal.Selain itu, ada penganalisa politik mendakwa sejak awal konflik pemerintah daerah cenderung untuk bertoleransi dengan perusuh menjadi motif untuk menghalalkan penyerangan atas nama agama ini. Selain itu hukuman penjara ke atas Ustaz Tajul Muluk dan pemindahan penduduk Syiah ke tempat lain dan berbagai diskriminasi yang lain turut menjadikan situasi lebih parah apabila perusuh merasakan mereka berada di pihak yang benar dan bebas melakukan apa sahaja sambil melupakan ajaran murni Islam dan norma-norma akhlak.Rusuhan atas nama agama yang tercetus di Sampang sejak tahun lalu telah berlarutan sehingga mengorbankan 2 orang pengikut Syiah, mencederakan beberapa orang yang lain dan berpuluh rumah mereka dibakar pada 26 Ogos baru-baru ini.